Wednesday, May 16, 2012

CIKGU BUKAN SEBATANG LILIN


Assalamualaikum
Acapkali kedegaran perumpamaan "Guru ibarat sebatang lilin yang berkorban untuk menerangi insan lain". Adakah benar begitu? Mari kita luangkan masa sejenak membaca artikel di bawah yang dipetik daripada blog Ustaz Hasrizal bertarikh 14.05.2011.
SELAMAT HARI GURU CIKGU-CIKGU SEKALIAN & TERIMA KASIH ATAS TUNJUK AJAR. 
HANYA ALLAH YANG MAMPU MEMBALAS JASA CIKGU-CIKGU.
____________________________________________________________________________________________________________

Jangan Jadi Lilin


“Jadilah lilin… yang membakar diri untuk menerangi… berkorban diri demi kebaikan orang lain!” itulah ungkapan ‘indah’ yang sering disebut orang kita.
Guru umpama lilin.
Kekasih umpama lilin.
Dan pelbagai siri lilin yang lain, terbakar diri untuk memberi.
Simbol pengorbanan.
LIKU DAKWAH
Dakwah adalah jalan yang penuh liku. Dari ujian kesusahan, hinggalah kepada ujian kesenangan malah kejemuan. Dakwah adalah wasilah Tarbiyah yang ertinya pada seni membentuk manusia. Tatkala usaha itu bersabit dengan manusia, banyaklah sakitnya berurusan dengan manusia.
Semuanya ditempuh oleh pendakwah, demi matlamat Tarbiyah yang dijunjungnya, pada seni membentuk manusia.
“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”
Justeru kesakitan yang dialami oleh pendakwah adalah pada menggauli manusia, sebelum kesakitan berbentuk ujian yang datang dan pergi pada tabiat jalan dakwah.
Dakwah itu perjuangan. Perjuangan seiringan dengan pengorbanan.
JANGAN JADI LILIN YANG TERBAKAR
Dakwah boleh menyinar segar kehidupan manusia yang diseru, mengeluarkan manusia dari gelap kepada cahaya. Jalannya payah dan perlukan sabar, ketika sabar itu digelar Nabi SAW sebagai sinar mentari. Sumber kebaikan, sumber kehidupan, namun sinar hanya datang dari bakaran yang bukan sebarangan.
“… dan sabar itu adalah sinar”
Jika dakwah itu membawa sinar, maka sinar itu jugalah yang perlu dijaga. Usaha menyinari manusia dan alam, terlalu mudah membakar diri orang yang menyerunya sendiri. Manusia penyeru boleh terbakar bukan kerana berkorban, tetapi terkorban kerana hilang kepedulian terhadap tuntutan ke atas diri sendiri. Mengajak orang kepada kebaikan, tetapi membiarkan diri musnah tanpa kebaikan yang sama.
“Pendakwah seperti lilin”… mungkin bukan perumpaan yang hikmah.
Ingatlah pesan Nabi Sallallaahu ‘alayhi wa sallam, agar jangan sewenang-wenangnya kita mahu menjadi lilin:
“Perumpamaan orang yang mengajar orang ramai kebaikan tetapi melupakan dirinya sendiri adalah seperti lilin yang memberikan cahaya ke atas orang lain dan (dalam masa yang sama) membiarkan dirinya terbakar”
Lilin itu menyinar. Tetapi sinarnya hasil terbakar diri. Ia menghasilkan manfaat buat orang lain, tetapi membiarkan diri binasa. Ia membekalkan kebaikan yang dimanfaatkan oleh semua orang kecuali dirinya sendiri. Manusia lain mendapat kebaikan darinya, tetapi dirinya sendiri hancur binasa.
Lilin tidak sedar ketika sibuk menghasilkan cahaya, dirinya sendiri menuju gelita, fana’ dan binasa.
JADILAH LAMPU PELITA YANG MENYINAR
Justeru Baginda Sallallaahu ‘alayhi wa sallam berpesan dengan pesanan yang menampakkan ketelitian pada bicara dan makna, lantas bersabda:
“Perumpamaan seorang yang berilmu yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai, dan melupakan (kepentingan-kepentingan) dirinya adalah seperti lampu pelita yang memberikan cahaya untuk manusia dan membakar dirinya”
Harusnya pendakwah dan pendidik itu jadi pelita.
Gelaran Nabi Sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada mereka adalah si ALIM, bukan sekadar seorang manusia. ALIM itu sandarannya ilmu. Tahu ilmu mendidik orang, tahu ilmu mendidik diri.
Perumpamaan yang baik itu ditujukan kepada seorang alim yang muallim. Seorang yang bukan sekadar tahu-tahu kemudian menyibukkan diri memberitahu, lalu mudah alpa ke atas diri sendiri. Sesungguhnya manusia seperti inilah yang sering menjadi lilin.
Akan tetapi lampu pelita menyinarkan cahaya untuk orang lain, dengan apa yang ada pada dirinya. Dirinya diberikan hak seperti yang sepatutnya, agar boleh terus bekerja dan berusaha. Ilmunya, masanya, tenaganya, semua ini menghasilkan sinar. Yang dikorbankan adalah kepentingan-kepentingan diri yang merugikan, bukannya terkorban diri kerana sibuk memberi. Terbakar itu adalah pengorbanan diri dan bukannya mangsa korban diri,
Merekalah manusia yang hidupnya dengan ilmu itu adalah untuk memberi, hidup bukan untuk diri sendiri.
PESANAN BUAT LILIN
Justeru bagi sekalian yang alpa menjadi lilin, janganlah dirimu terang sebatang hanya sepetang. Engkau harus berusaha menjadi lampu yang sentiasa mengisi diri dengan bahan bakar untuk terus bercahaya. Terbakarnya berterusan menghasilkan kebaikan, dan terus menerus berkorban, bukannya tamat kerana mangsa korban… korban sendiri yang alpa terhadap diri.
Manusia yang tidak memiliki, adalah manusia yang alpa diri, tidaklah dia mampu hidup memberi.
Banyakkan usaha mencari, sebanyak cita-citamu untuk memberi.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Saturday, April 14, 2012

APABILA BALA MENJENGAH…



Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. (al-‘Ankabut 40)

Teman-teman yang dirahmati Allah.
TRAGEDI gempa bumi seringkali berlaku mutakhir ini, menyebabkan ramai yang kehilangan orang dikasihi dan harta benda. Terbaru, kejadian yang berlaku pada 11 April 2012 di Aceh, Indonesia. Gegaran berukuran 8.7 pada skala richter itu turut dirasai oleh penduduk Malaysia di beberapa buah negeri hingga menimbulkan situasi yang cemas. Setahun yang lalu kita dikejutkan dengan tragedi tsunami di Jepun yang mengorbankan banyak nyawa sehingga mengancam penduduk kejiranan akibat kebocoran nuklear. Hakikatnya, kejadian seumpama itu berlaku sejak dulu lagi. Kejadian demi kejadian menimbulkan reaksi pelbagai pihak termasuk pakar geologi, saintis dan kaji cuaca.

Kajian dan penelitian yang tidak berkesudahan itu hakikatnya masih gagal mengelak kematian setiap kali gempa bumi melanda. Gempa bumi di Tangshan, China pada 28 Julai 1976 dilihat terburuk kerana mengorbankan 240,000 nyawa. Tragedi ini sepatutnya mencelikkan mata semua pihak bahawa qada dan qadar Ilahi tidak mungkin diubah tanpa kehendak-Nya.
Peristiwa yang berlaku pada umat terdahulu dan pada hari ini adalah untuk menginsafkan kita agar menilai kembali tahap ujian dan dugaan yang menimpa diri. Pasti Allah tidak membebani umat manusia dengan perkara tidak mampu mereka tanggung. Dari sudut berbeza, kita sering tertanya-tanya, adakah bencana yang diturunkan Allah satu ujian atau balasan terhadap kecuaian manusia? Walaupun jawapannya milik mutlak Yang Maha Kuasa, sebagai hamba yang lemah kita wajar sensitif dengan apa juga yang diturunkan-Nya.

Musibah ini mungkin ujian kepada hamba-Nya agar bersabar dan meningkatkan nilai keimanan. Mungkin juga balasan Allah terhadap hamba yang berdosa dan lupa dengan kekuasaan-Nya. Ada yang berpandangan bencana ini adalah isyarat bahawa hari kiamat hampir tiba kerana struktur bumi dan peredaran masa berubah daripada kedudukan asal. Tidak kurang yang menyatakan bencana ini perancangan Allah untuk menyedarkan manusia agar tidak berbalah dan berperang. Kesempatan ketika turunnya musibah seperti ini berpotensi menjadi platform menjalinkan kembali hubungan baik dan kerjasama antara pihak bertelagah. Apa pun tanggapannya, setiap kejadian itu pasti ada motif atau hikmah yang kadangkala sukar dirungkaikan dengan akal manusia.

Kejadian yang sedang hangat diperbualkan ini adalah rentetan peristiwa yang disediakan Allah sebagai iktibar kepada umat manusia. Sedar atau tidak, manusia tidak boleh lari daripada sifat lupa dan atas dasar itu, mereka perlu diberi peringatan dari semasa ke semasa. Sejak zaman Nabi Adam, umat manusia diperlihatkan dengan kejadian yang menginsafkan. Imbasan satu persatu kisah nabi terdahulu, pasti mengingatkan kita dengan kejadian yang penuh tragis seperti penyeksaan, pembunuhan, dan penderitaan. Namun, hakikatnya kesudahan terhadap kisah itu, pasti menunjukkan hamba-Nya yang berjaya menjalani ujian, memiliki tahap iman unggul. Sesungguhnya dalam hidup ini manusia tidak dapat lari atau dipisahkan daripada ujian terutama bagi mereka yang sentiasa mengejar kejayaan dan berusaha mendapatkan kebahagiaan.

Firman Allah bermaksud: “Dialah Tuhan yang mencipta mati dan hidup untuk menguji kamu, apakah kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” – (Surah al-Mulk, ayat 2).

Tanggapan yang menyatakan hidup hanya untuk kesenangan adalah tidak tepat dan perlu disangkal. Mereka perlu berpandangan setiap perkara mempunyai nilai bahagia dan sengsara, untung dan rugi atau sihat dan sakit yang akhirnya mampu meyakinkan seseorang mengenai perlunya beriman kepada qada dan qadar Allah. Segala yang diberikan kepada kita adalah seni hidup yang sudah menjadi sunnatullah kerana itu ukuran terhadap usaha dan iman seseorang. Berjaya atau tidak seseorang mencapainya terletak kepada sejauh mana kemampuannya menghadapi ujian itu

Firman Allah bermaksud: “Alif Laam Mim. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman, sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan. Dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah terhadap orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui terhadap orang yang berdusta.” – (Surah al-Ankabut, ayat 1-3)

Ujian itu kadangkala membabitkan kematian, namun ini adalah hakikat yang perlu diterima manusia. Kematian adalah penutup segala ujian Allah kepada manusia. Ahli keluarga dan sahabat si mati perlu reda dengan ketentuan Allah, di samping mengakui nikmat nyawa dan kemewahan hidup hanya pinjaman. Sesungguhnya, kita mesti yakin bahawa Allah swt mampu menurunkan ujian yang lebih perit dan hebat daripada apa yang kita dapat pada hari ini. Beban menanggung resah dan takut pun tidak dapat ditahan, apatah lagi menjadi mangsa kepada keperitan itu.

Oleh itu, dengan baki nyawa yang masih dipinjamkan, selagi nafas masih terhela, marilah sama-sama kita mempertingkat bekalan untuk di bawa ke mahkamah mahsyar menghadap Yang Maha Adil dengan mencurahkan segala kekuatan tenaga, harta dan buah fikiran di dalam perjuangan mendaulatkan agama islam. Mudah-mudahan hidup kita di muka bumi ini terlindung dari murka Allah S.W.T.

Saturday, March 31, 2012

KAMI RINDU PADAMU YA RASULULLAH

Rindunya kami padamu ya Rasulullah.....
Sedikit perkongsian untuk menyentuh hati-hati teman semua.....

Monday, February 13, 2012

Ada apa dengan 14 Februari?

Assalamualaikum semua...harap-harap semuanya sihat-sihat belaka

Ada apa dengan 14 Februari?
Di bawah ini ada ceramah ringkas tentang tarikh ini daripada Ustaz Azhar Idrus. Semoga mendapat manfaat daripada klip ceramah yang ringkas dan tepat ini hendaknya, inshaALLAH.


Sunday, January 8, 2012

Renungan...

Bismillahirrahmanirrahim...

Imam Syafi’e rahimahullah berkata ketika menghadapi sakit yang membawa kepada kematiannya:
"Ketika hatiku menjadi keras dan pernafasanku sempit,
Aku menjadikan harapan untuk mencapai keampunan-Mu sebagai tangga.
Dosaku sangat besar, namun ketikaku bandingkan,
Ternyata keampunan daripada Tuhanku adalah lebih besar."

Sunday, November 6, 2011

Salam Aidil Adha 1432H

Dengan lafaz Bismillahirohmanirohim! Unit 3N berserta AJK Nisa Teluk Intan ingin mengambil sedikit waktu anda untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA. Semoga di hari yang mulia ini ukhwah kekeluargaan sesama umat Islam akan lebih erat dan kukuh...AMIN Ya Robb

Friday, November 4, 2011

FADHILAT: Puasa Hari Arafah

        Hari Arafah merupakan hari yang mempunanyai kelebihannya yang tersendiri. Jika para jemaah haji diwajibkan berada di padang Arafah untuk wuquf di sana, kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji pula digalakkan untuk berpuasa pada hari ini. Kedatangannya setahun sekali ini janganlah disia-siakan. Kita juga digalakkan untuk berzikir dan berdoa kepada Allah pada hari ini. Di sini