Assalamualaikum
Acapkali kedegaran perumpamaan "Guru ibarat sebatang lilin yang berkorban untuk menerangi insan lain". Adakah benar begitu? Mari kita luangkan masa sejenak membaca artikel di bawah yang dipetik daripada blog Ustaz Hasrizal bertarikh 14.05.2011.
SELAMAT HARI GURU CIKGU-CIKGU SEKALIAN & TERIMA KASIH ATAS TUNJUK AJAR.
HANYA ALLAH YANG MAMPU MEMBALAS JASA CIKGU-CIKGU.
____________________________________________________________________________________________________________
“Jadilah lilin… yang membakar diri untuk menerangi… berkorban diri demi kebaikan orang lain!” itulah ungkapan ‘indah’ yang sering disebut orang kita.
Guru umpama lilin.
Kekasih umpama lilin.
Dan pelbagai siri lilin yang lain, terbakar diri untuk memberi.
Simbol pengorbanan.
LIKU DAKWAH
Dakwah adalah jalan yang penuh liku. Dari ujian kesusahan, hinggalah kepada ujian kesenangan malah kejemuan. Dakwah adalah wasilah Tarbiyah yang ertinya pada seni membentuk manusia. Tatkala usaha itu bersabit dengan manusia, banyaklah sakitnya berurusan dengan manusia.
Semuanya ditempuh oleh pendakwah, demi matlamat Tarbiyah yang dijunjungnya, pada seni membentuk manusia.
“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”
Justeru kesakitan yang dialami oleh pendakwah adalah pada menggauli manusia, sebelum kesakitan berbentuk ujian yang datang dan pergi pada tabiat jalan dakwah.
Dakwah itu perjuangan. Perjuangan seiringan dengan pengorbanan.
JANGAN JADI LILIN YANG TERBAKAR
Dakwah boleh menyinar segar kehidupan manusia yang diseru, mengeluarkan manusia dari gelap kepada cahaya. Jalannya payah dan perlukan sabar, ketika sabar itu digelar Nabi SAW sebagai sinar mentari. Sumber kebaikan, sumber kehidupan, namun sinar hanya datang dari bakaran yang bukan sebarangan.
“… dan sabar itu adalah sinar”
Jika dakwah itu membawa sinar, maka sinar itu jugalah yang perlu dijaga. Usaha menyinari manusia dan alam, terlalu mudah membakar diri orang yang menyerunya sendiri. Manusia penyeru boleh terbakar bukan kerana berkorban, tetapi terkorban kerana hilang kepedulian terhadap tuntutan ke atas diri sendiri. Mengajak orang kepada kebaikan, tetapi membiarkan diri musnah tanpa kebaikan yang sama.
“Pendakwah seperti lilin”… mungkin bukan perumpaan yang hikmah.
Ingatlah pesan Nabi Sallallaahu ‘alayhi wa sallam, agar jangan sewenang-wenangnya kita mahu menjadi lilin:
“Perumpamaan orang yang mengajar orang ramai kebaikan tetapi melupakan dirinya sendiri adalah seperti lilin yang memberikan cahaya ke atas orang lain dan (dalam masa yang sama) membiarkan dirinya terbakar”
Lilin itu menyinar. Tetapi sinarnya hasil terbakar diri. Ia menghasilkan manfaat buat orang lain, tetapi membiarkan diri binasa. Ia membekalkan kebaikan yang dimanfaatkan oleh semua orang kecuali dirinya sendiri. Manusia lain mendapat kebaikan darinya, tetapi dirinya sendiri hancur binasa.
Lilin tidak sedar ketika sibuk menghasilkan cahaya, dirinya sendiri menuju gelita, fana’ dan binasa.
JADILAH LAMPU PELITA YANG MENYINAR
Justeru Baginda Sallallaahu ‘alayhi wa sallam berpesan dengan pesanan yang menampakkan ketelitian pada bicara dan makna, lantas bersabda:
“Perumpamaan seorang yang berilmu yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai, dan melupakan (kepentingan-kepentingan) dirinya adalah seperti lampu pelita yang memberikan cahaya untuk manusia dan membakar dirinya”
Harusnya pendakwah dan pendidik itu jadi pelita.
Gelaran Nabi Sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada mereka adalah si ALIM, bukan sekadar seorang manusia. ALIM itu sandarannya ilmu. Tahu ilmu mendidik orang, tahu ilmu mendidik diri.
Perumpamaan yang baik itu ditujukan kepada seorang alim yang muallim. Seorang yang bukan sekadar tahu-tahu kemudian menyibukkan diri memberitahu, lalu mudah alpa ke atas diri sendiri. Sesungguhnya manusia seperti inilah yang sering menjadi lilin.
Akan tetapi lampu pelita menyinarkan cahaya untuk orang lain, dengan apa yang ada pada dirinya. Dirinya diberikan hak seperti yang sepatutnya, agar boleh terus bekerja dan berusaha. Ilmunya, masanya, tenaganya, semua ini menghasilkan sinar. Yang dikorbankan adalah kepentingan-kepentingan diri yang merugikan, bukannya terkorban diri kerana sibuk memberi. Terbakar itu adalah pengorbanan diri dan bukannya mangsa korban diri,
Merekalah manusia yang hidupnya dengan ilmu itu adalah untuk memberi, hidup bukan untuk diri sendiri.
PESANAN BUAT LILIN
Justeru bagi sekalian yang alpa menjadi lilin, janganlah dirimu terang sebatang hanya sepetang. Engkau harus berusaha menjadi lampu yang sentiasa mengisi diri dengan bahan bakar untuk terus bercahaya. Terbakarnya berterusan menghasilkan kebaikan, dan terus menerus berkorban, bukannya tamat kerana mangsa korban… korban sendiri yang alpa terhadap diri.
Manusia yang tidak memiliki, adalah manusia yang alpa diri, tidaklah dia mampu hidup memberi.
Banyakkan usaha mencari, sebanyak cita-citamu untuk memberi.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG