Saturday, April 14, 2012

APABILA BALA MENJENGAH…



Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. (al-‘Ankabut 40)

Teman-teman yang dirahmati Allah.
TRAGEDI gempa bumi seringkali berlaku mutakhir ini, menyebabkan ramai yang kehilangan orang dikasihi dan harta benda. Terbaru, kejadian yang berlaku pada 11 April 2012 di Aceh, Indonesia. Gegaran berukuran 8.7 pada skala richter itu turut dirasai oleh penduduk Malaysia di beberapa buah negeri hingga menimbulkan situasi yang cemas. Setahun yang lalu kita dikejutkan dengan tragedi tsunami di Jepun yang mengorbankan banyak nyawa sehingga mengancam penduduk kejiranan akibat kebocoran nuklear. Hakikatnya, kejadian seumpama itu berlaku sejak dulu lagi. Kejadian demi kejadian menimbulkan reaksi pelbagai pihak termasuk pakar geologi, saintis dan kaji cuaca.

Kajian dan penelitian yang tidak berkesudahan itu hakikatnya masih gagal mengelak kematian setiap kali gempa bumi melanda. Gempa bumi di Tangshan, China pada 28 Julai 1976 dilihat terburuk kerana mengorbankan 240,000 nyawa. Tragedi ini sepatutnya mencelikkan mata semua pihak bahawa qada dan qadar Ilahi tidak mungkin diubah tanpa kehendak-Nya.
Peristiwa yang berlaku pada umat terdahulu dan pada hari ini adalah untuk menginsafkan kita agar menilai kembali tahap ujian dan dugaan yang menimpa diri. Pasti Allah tidak membebani umat manusia dengan perkara tidak mampu mereka tanggung. Dari sudut berbeza, kita sering tertanya-tanya, adakah bencana yang diturunkan Allah satu ujian atau balasan terhadap kecuaian manusia? Walaupun jawapannya milik mutlak Yang Maha Kuasa, sebagai hamba yang lemah kita wajar sensitif dengan apa juga yang diturunkan-Nya.

Musibah ini mungkin ujian kepada hamba-Nya agar bersabar dan meningkatkan nilai keimanan. Mungkin juga balasan Allah terhadap hamba yang berdosa dan lupa dengan kekuasaan-Nya. Ada yang berpandangan bencana ini adalah isyarat bahawa hari kiamat hampir tiba kerana struktur bumi dan peredaran masa berubah daripada kedudukan asal. Tidak kurang yang menyatakan bencana ini perancangan Allah untuk menyedarkan manusia agar tidak berbalah dan berperang. Kesempatan ketika turunnya musibah seperti ini berpotensi menjadi platform menjalinkan kembali hubungan baik dan kerjasama antara pihak bertelagah. Apa pun tanggapannya, setiap kejadian itu pasti ada motif atau hikmah yang kadangkala sukar dirungkaikan dengan akal manusia.

Kejadian yang sedang hangat diperbualkan ini adalah rentetan peristiwa yang disediakan Allah sebagai iktibar kepada umat manusia. Sedar atau tidak, manusia tidak boleh lari daripada sifat lupa dan atas dasar itu, mereka perlu diberi peringatan dari semasa ke semasa. Sejak zaman Nabi Adam, umat manusia diperlihatkan dengan kejadian yang menginsafkan. Imbasan satu persatu kisah nabi terdahulu, pasti mengingatkan kita dengan kejadian yang penuh tragis seperti penyeksaan, pembunuhan, dan penderitaan. Namun, hakikatnya kesudahan terhadap kisah itu, pasti menunjukkan hamba-Nya yang berjaya menjalani ujian, memiliki tahap iman unggul. Sesungguhnya dalam hidup ini manusia tidak dapat lari atau dipisahkan daripada ujian terutama bagi mereka yang sentiasa mengejar kejayaan dan berusaha mendapatkan kebahagiaan.

Firman Allah bermaksud: “Dialah Tuhan yang mencipta mati dan hidup untuk menguji kamu, apakah kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” – (Surah al-Mulk, ayat 2).

Tanggapan yang menyatakan hidup hanya untuk kesenangan adalah tidak tepat dan perlu disangkal. Mereka perlu berpandangan setiap perkara mempunyai nilai bahagia dan sengsara, untung dan rugi atau sihat dan sakit yang akhirnya mampu meyakinkan seseorang mengenai perlunya beriman kepada qada dan qadar Allah. Segala yang diberikan kepada kita adalah seni hidup yang sudah menjadi sunnatullah kerana itu ukuran terhadap usaha dan iman seseorang. Berjaya atau tidak seseorang mencapainya terletak kepada sejauh mana kemampuannya menghadapi ujian itu

Firman Allah bermaksud: “Alif Laam Mim. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman, sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan. Dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah terhadap orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui terhadap orang yang berdusta.” – (Surah al-Ankabut, ayat 1-3)

Ujian itu kadangkala membabitkan kematian, namun ini adalah hakikat yang perlu diterima manusia. Kematian adalah penutup segala ujian Allah kepada manusia. Ahli keluarga dan sahabat si mati perlu reda dengan ketentuan Allah, di samping mengakui nikmat nyawa dan kemewahan hidup hanya pinjaman. Sesungguhnya, kita mesti yakin bahawa Allah swt mampu menurunkan ujian yang lebih perit dan hebat daripada apa yang kita dapat pada hari ini. Beban menanggung resah dan takut pun tidak dapat ditahan, apatah lagi menjadi mangsa kepada keperitan itu.

Oleh itu, dengan baki nyawa yang masih dipinjamkan, selagi nafas masih terhela, marilah sama-sama kita mempertingkat bekalan untuk di bawa ke mahkamah mahsyar menghadap Yang Maha Adil dengan mencurahkan segala kekuatan tenaga, harta dan buah fikiran di dalam perjuangan mendaulatkan agama islam. Mudah-mudahan hidup kita di muka bumi ini terlindung dari murka Allah S.W.T.